Apakah Penyakit Biliary Atresia ?

APAKAH PENYAKIT BILIARY ATRESIA?

Ø    Biliary atresia adalah sejenis penyakit di mana terdapat ketidak wujudnya sistem hempedu luar, menyebabkan penyakit jaundis yang berpanjangan.

APAKAH PUNCANYA?

Ø    Puncanya tidaklah diketahui. Bagaimanapun penuakit ini wujud sejak kelahiran lagi. Banyak teori-teori yang dikemukakan. Besar kemungkinan sistem hempedu luar diserang oleh antibody badan sendiri (auto-antibodies).

BILAKAH PENYAKIT INI SELALUNYA DIKESAN?

Ø    Pada kebiasaannya, penyakit ini dapat dikesan di antara umur 2 hingga 4 minggu.

APAKAH GEJALA DAN TANDA-TANDA TERKENA PENYAKIT?

Ø    Gejala penyakit ini termasuklah kekuningan yang berpanjangan dan najis yang pucat. Air kencing juga berwarna kuning pekat. Tanda-tandanya adalah seperti kuning jaundis yang mendalam, najis yang pucat, pembesaran hati dan limpa.

BAGAIMANAKAH PENYAKIT INI DAPAT DIPASTIKAN?

Ø    Penyakit ini hanya dapat dipastikan melalui pembedahan sahaja. X-ray sistem hempedu luar semasa pembedahan akan dapat menunjukkan sama ada ia normal atau tidak. Kadangkala biopsy hati dan penyiasatan darah juga dilakukan sebelum pembedahan.

APAKAH RAWATAN BAGI PENYAKIT INI?

Ø    Rawatan adalah melalu pembedahan sahaja. Tiada ubat moden yang dapat merawat penyakit ini. Pembedahan ini dipanggil pembedahan Kasai, sempena nama Pakar Bedah yang mereka kaedah ini. Di dalam pembedahan ini, sistem hempedu luar akan dibuang dan usus kecil akan disambungkan ke porta hepatis. Prognosis penyakit ini adalah lebih baik jika pembedahan ini dapat dilakukan sebelum berumur 60 hari. Di peringkat terjadinya kerosakan hati, pemindahan hati sahaja yang dapat merawatnya. Bagaimanapun, kaedah ini tidak terdapat di negara ini pada masa ini.

APAKAH MASALAH DENGAN PENYAKIT BILARY ATRESIA?

Ø    Pesakit-pesakit boleh mendapat cholangitis dimana terdapat radang pada sistem hempedu di dalam hati. Ini boleh menyebabkan demam yang tinggi, jaundis yang mendalam dan najis yang pucat. Dalam jangkamasa panjang, kerosakan hati akan timbul. Ini akan menyebabkan muntah darah dan asites (ascites).

APAKAH PROGNOSIS SELEPAS PEMBEDAHAN KASAI?

Ø    Satu pertiga dari pesakit tidak dapat apa-apa menafaat, satu pertiga akan bebas dari jaundis dan hidup sebagai bayi normal dan satu pertiga lagi akan memerlukan rawatan yang berpanjangan di hospital untuk komplikasi-komplikasi yang timbul.

NASIHAT DARI PAKAR?

Ø    Jururawat boleh menasihati ibu bapa pesakit mengenai pentingnya membawa anak-anak yang ada kuning yang berpanjangan ke hospital secepat mungkin untuk penyiasatan dilakukan sebelum umur anak meningkat lebih daripada dua bulan.

Sumber: Persatuan Pediatrik Malaysia